Pertama Kali Nak Travel ke Luar Negara? Ini Checklist Wajib untuk ‘Newbie’

    October 28, 2025 • a year ago
    Pertama Kali Nak Travel ke Luar Negara? Ini Checklist Wajib untuk ‘Newbie’

    Mengembara ke luar negara buat kali pertama sememangnya satu pengalaman yang mendebarkan. Segala perasaan bercampur baur, teruja, risau, cemas, semua ada! Tetapi dalam keterujaan itu, ramai yang terlepas pandang perkara-perkara penting yang boleh menjejaskan mood sepanjang perjalanan. Lebih-lebih lagi jika pergi seorang diri, semuanya harus diuruskan dari A sampai Z.

    Jangan risau sangat! Tarik nafas sekejap, teruskan pembacaan dan catat isi penting yang anda perlu utamakan. Artikel ini menyenaraikan asas paling penting buat anda yang baru nak merasa pengalaman bercuti ke luar negara supaya perjalanan anda lebih lancar, tersusun dan bebas drama.

    Dokumen Wajib, Jangan Main-Main!

    Nak ke luar negara, banyak dokumen yang perlu diuruskan lebih awal dan tidak boleh dipandang ringan.

    Jika anda masih belum mempunyai pasport dan bercadang untuk pertama kali ke luar negara, jangan risau. Proses permohonan pasport Malaysia sebenarnya cukup mudah dan cepat. Pertama sekali, pastikan anda sediakan dokumen penting seperti MyKad asal bagi warganegara berusia 18 tahun ke atas.

    Bagi pemohon bawah 18 tahun, bawa MyKid atau sijil lahir bersama MyKad penjaga. Kebanyakan pejabat Imigresen kini mengambil gambar pasport secara terus, jadi tidak semestinya anda perlu bawa gambar terlebih dahulu. Sebaiknya semak dahulu keperluan di cawangan yang anda ingin pergi.

    Seterusnya, hadir ke pejabat Imigresen yang berdekatan. Proses permohonan biasanya tidak memerlukan janji temu, anda boleh datang terus. Waktu terbaik untuk hadir adalah awal pagi kerana jumlah pengunjung biasanya tinggi. Untuk bayaran, yuran pasport bagi orang dewasa ialah RM200 untuk tempoh sah selama lima tahun. Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, bayarannya hanya RM100.

    Biasanya, pasport boleh siap dalam masa satu hari bekerja. Malah, sesetengah pejabat Imigresen mampu menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja. Sebelum ambil pasport, pastikan semua maklumat dicetak dengan betul, terutamanya nama dan nombor kad pengenalan.

    Bagi yang sudah ada pasport, pastikan ia masih sah laku sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh penerbangan. Kalau nak ke negara yang perlukan visa macam Australia, China atau Jepun, mohon awal supaya tak kelam-kabut.

    Simpan salinan tiket kapal terbang dan tempahan penginapan dalam bentuk salinan lembut (soft copy) dan bercetak (hard copy). Imbas dan e-mel semua dokumen penting kepada diri sendiri sebagai salinan sokongan.

    Urus Duit Awal-Awal

    Pastikan tukar wang lebih awal, jangan tunggu saat akhir. Selalunya tukar di pengurup wang lebih berbaloi berbanding di lapangan terbang yang biasanya lebih mahal. Anda juga boleh bawa kad debit atau kredit yang boleh digunakan di luar negara, tapi aktifkan fungsi antarabangsa dahulu ya!

    Selain itu, bawa wang tunai mencukupi mengikut bajet harian dan simpan lebihan untuk kecemasan. Muat turun aplikasi tukar mata wang supaya mudah untuk mengira nilai tukaran ketika membeli-belah nanti.

    Barang Penting untuk Travel

    Nak bercuti, barangan elektronik seperti telefon bimbit atau kamera sangat penting untuk mengabadikan kenangan. Untuk makluman, setiap negara menggunakan jenis palam (plug) yang berbeza. Oleh itu, penyesuai pengecasan universal (universal adapter) sangat wajib dibawa. Jangan lupa juga power bank (pastikan ikut kapasiti yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan).

    Bawa juga ubat-ubatan asas, terutama jika badan mudah jatuh sakit. Peralatan mandian jangan dilupakan walaupun hotel biasanya sediakan tetapi lebih baik bersedia. Pastikan semua barangan cecair dalam saiz kecil ikut had penerbangan (biasanya 100 ml ke bawah).

    Dari segi pakaian, kaji dahulu cuaca di destinasi. Bawa pakaian mengikut musim sama ada sejuk, panas atau hujan. Ini menjimatkan ruang beg dan mengelakkan pembaziran beli pakaian baharu. Sediakan juga beg kecil untuk simpan barangan penting semasa berjalan-jalan.

    Aplikasi Wajib Muat Turun

    Kini semua di hujung jari. Gunakan pelayar internet untuk semak lokasi, tempahan dan bajet. Aplikasi seperti Agoda atau Booking.com memudahkan carian penginapan ikut bajet.

    Gunakan aplikasi peta seperti Google Maps untuk semak kawasan sekitar, malah boleh lihat gambar destinasi terlebih dahulu. Untuk komunikasi, guna aplikasi penterjemah automatik, jadi tak perlu kamus tebal!

    Aplikasi seperti Grab, Uber atau Gojek juga memudahkan pergerakan. Jika negara tersebut ada aplikasi khas pengangkutan awam seperti Suica (Jepun) atau T-Money (Korea), muat turun awal-awal. Nak lagi mudah, Guna aplikasi perancang jadual (itinerary planner) atau penukar mata wang.

    Tip Penting di Lapangan Terbang & Imigresen

    Datang awal sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam sebelum penerbangan antarabangsa. Ini bagi mengelakkan kelewatan atau perubahan jadual saat akhir.

    Di kaunter imigresen, pastikan semua dokumen seperti pasport, borang imigresen (jika ada), tiket penerbangan dan bukti penginapan mudah dicapai. Simpan dalam folder khas atau beg tangan. Jawab soalan dengan tenang dan jujur, jangan panik kerana boleh menimbulkan syak wasangka.

    Isi borang imigresen semasa dalam penerbangan jika boleh. Elakkan membawa barang larangan seperti makanan tertentu, ubat tanpa preskripsi atau objek tajam. Semak peraturan imigresen negara destinasi sebelum berangkat.

    Dapatkan Insurans Perjalanan, Elak Perkara Tak Diingini!

    Satu perkara yang sering dipandang remeh tetapi sebenarnya sangat penting ialah insurans perjalanan.

    Kita bukan berharap perkara buruk berlaku, tapi lebih baik sediakan payung sebelum hujan, bukan? Jika berlaku seperti bagasi hilang, penerbangan dibatalkan atau jatuh sakit, kosnya sangat tinggi. Dengan insurans perjalanan, anda dilindungi sepenuhnya atau sebahagian, bergantung kepada polisi.

    Tak tahu nak pilih insurans mana? Gunakan aplikasi MoneyX. Anda boleh bandingkan pelbagai pelan insurans dalam satu platform. Mudah dan menjimatkan masa. Jadi, sebelum terbang, pastikan anda ada perlindungan yang mencukupi.

    Pertama kali ke luar negara memang menakutkan, tapi bila dah melaluinya, pasti akan rasa lebih yakin dan teruja! Jangan terkejut kalau balik je dari bercuti, terus rancang ke destinasi seterusnya!

    Ingat, melancong bukan sekadar tengok tempat orang. Ia tentang belajar budaya baru, keluar dari zon selesa dan mencipta kenangan yang akan anda kenang seumur hidup. Selamat mengembara dan semoga perjalanan pertama anda jadi yang paling bermakna!

    Loading......